Sunday, January 16, 2011

Melukis

Aku langsung tak ada bakat melukis. Masa aku di sekolah rendah dulu, bila masuk je waktu seni lukis, peluh mulamemercik di dahi. Tak senang duduk aku, lagi-lagi kalo cikgu bagi kerja rumah suruh lukis itu ini. Bagi lah kerja rumah apa pun, nescaya aku boleh buat tapi bukan melukis. 

Dek kerana takotnya aku pada cikgu seni lukis aku Ustaz Halim (cikgu zaman aku dulu main campak je ngajar subjek apa pon) aku tekad nak buat latihan melukis dan siapkan kerja rumah yang diberinya. Gila semangat kayuh basikal lepas balik sekolah untuk beli drawing block. Sengih sendirian aku bila sudah berjaya beli kertas lukisan. Sampai je di rumah, belum sempat salin baju sekolah aku dah kalut untuk melukis,beg entah ke mana, kasut entah ke mana. Pangggg. satu pukulan tepat di atas belakang. Ohh, rupanya umi telah pon 'melukis' tapak tangannya di belakang aku sebelum sempat aku mula melukis. Bergenang airmata. Dengan perlahan-lahan, aku susun kasut dan masuk bilik salin pakaian dan mandi. Lalu tidur.

Aku hanya mampu melukis peta di bantal seperti biasa. Putus angin untuk melukis dek kerana lukisan umi yang memberi efek cukup mendalam ketika itu. Bila bangun dari tidur, hari sudah petang. Dengan penuh kegirangan aku mengayuh basikal keliling kampung dan terus lupakan kertas lukisan yang aku beli tengahari tadi. 

Azan maghrib berkumandang, aku kayuh basikal dengan laju dan brek mengejut di hadapan pagar rumah aku. Umi sudah menunggu aku dengan ranting kayu di tangan. Ye, umi 'melukis' lagi...tapi kali nie di kaki. Efek warna yang sangat menarik membuatkan aku tido lebih awal sebagai tanda protes. Dan latihan melukis hanyalah di bantal seperti biasa.



lukisan klise inilah yang aku gunakan selama 6 tahun bersekolah di sekolah rendah. Bagi aku, sudah cukup hebat dapat melukis rumah yang mempunyai kain langsir. Pokok yang berbuah epal. Padi yang menghijau, serta paling penting harus ada aku yang tersenyum riang dalam lukisan itu. Ya. Aku sudah cukup puas biarpun rakan sekelas ketawa sambil menepuk dinding bila tengok lukisan aku. Selama 6 tahun lukisan ini tidak pernah berubah. Cuma sekali sekala aku akan letak burung dua tiga ekor berterbangan dan sepasu bunga. 

0 komen: